
APLIKASI mudah alih atau juga dikenali sebagai Mobile App adalah perisian yang direka bagi membolehkan ia dimuat turun dalam telefon pintar, komputer tablet dan peranti mudah alih.
Selaras dengan kemajuan teknologi komunikasi masa kini, Jabatan Pertanian Malaysia juga mewujudkan inisiatif dengan membangunkan dua aplikasi mudah alih di bawah projek e-Agriculture Extension atau e-Pengembangan Pertanian.
Inisiatif ini adalah bagi mentransformasikan perkhidmatan pengembangan pertanian melalui platform mudah alih untuk capaian yang cepat, mudah, tanpa mengira masa dan tempat.Dua aplikasi yang dibangunkan ialah AgriMaths dan 100 Tip Tanaman.
AgriMaths ialah adaptasi daripada buku Asas Matematik Pertanian terbitan Jabatan Pertanian Malaysia. Ia menampilkan maklumat pengiraan untuk tanaman sayur-sayuran dan tanaman singkat masa, buah-buahan, padi, kelapa, cendawan, lebah madu dan kelulut, baja, racun makhluk perosak, kejuruteraan pertanian, fertigasi dan aliran kewangan.
Ia sesuai digunakan sebagai sumber rujukan dan panduan pantas kepada pegawai pengembangan pertanian mahupun usahawan tani.
Melalui aplikasi AgriMaths ini, pengguna boleh mengetahui jumlah biji benih, jumlah pokok, bilangan batas tanaman, jarak tanaman kepadatan tanaman, sistem menanam dan keperluan infrastruktur ladang mengikut keluasan tanah.
Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengetahui jumlah bilangan batas tanaman bagi tanaman sayur-sayuran untuk satu ekar keluasan tanah adalah 269 batas tanaman, manakala untuk satu hektar adalah 664 batas dengan jarak antara batas ialah dua kaki.
Petua tanaman
Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat umum berkenaan baja yang merupakan input utama dalam projek pertanian seperti definisi baja. Selain itu, pengguna boleh mendapat maklumat mengenai formulasi dan kandungan unsur pada beg baja, peratus kandungan nutrien dalam baja bukan organik, carta panduan mencampur baja, formulasi baja fertigasi dan pengiraan baja fertigasi.
Aplikasi 100 Tip Tanaman pula memuatkan 100 tip dan petua tanaman yang diolah secara ringkas serta padat. Ia boleh dijadikan sebagai sumber rujukan dan panduan pantas untuk orang ramai.
Antara tip tanaman yang boleh didapati dalam aplikasi ini ialah kaedah penyediaan lima jenis baja cecair Natural Farming (NF). Ini termasuklah baja hijau, baja buah-buahan, baja berasaskan ikan, baja berasaskan tulang dan baja berasaskan kulit telur atau kerang atau siput berserta dengan kaedah mudah penyediaan baja-baja tersebut.
Misalnya, kaedah membuat baja berasaskan ikan ialah dengan menyediakan satu kilogram (kg) ikan atau sisa ikan kemudian dicampurkan dengan satu kg gula merah. Bekas perlu ditutup dengan kertas putih dan diikat serta diperam selama empat belas hari dan akhir sekali ditapis untuk mendapatkan cecair baja.
Untuk penggunaan, pengguna boleh mengambil satu sudu besar cecair baja dan campur ke dalam lima liter air dan disiram terus pada tanaman.
Kaedah penyediaan baja ini diharap dapat menggalakkan pengguna membuat sendiri baja secara organik. Secara tidak langsung, ia menggalakkan orang ramai bercucuk tanam dan menghasilkan sumber makanan sendiri yang lebih terjamin keselamatannya.
Aplikasi yang dibangunkan ini diharap dapat menjadi panduan kepada semua peringkat masyarakat, terutamanya pengusaha pertanian dan pelajar-pelajar.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi AgriMaths dan 100 Tip Tanaman melalui telefon pintar secara percuma di Google Play bagi telefon pintar jenis adroid dan App Store jenis iPhone.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan